Home » Berita Canselori

Category Archives: Berita Canselori

Aha Jul 22, 2018
Waktu
Subuh 5:42 am
Syuruk 7:02 am
Zohor 1:14 pm
Asar 4:38 pm
Maghrib 7:26 pm
Isyak 8:38 pm

Pengertian ‘Hari Kemenangan’ @ Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Ia juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, merupakan hari raya bagi kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia khususnya.

Hari Raya Fitrah ditentukan melalui dua cara iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Merukyah atau melihat anak bulan pada petang 29hb hijrah bagi menentukan sama ada keesokan harinya 30hb atau 1hb. Sekiranya anak bulan kelihatan di ufuk selepas matahari terbenam maka keesokan harinya dikira awal bulan baharu tetapi sekiranya tidak kelihatan maka bulan tersebut digenapkan menjadi 30hb. Di Malaysia dan negara MABIMS, sekiranya anak bulan tidak kelihatan berdasarkan kaedah rukyah maka kaedah Imkanul Rukyah akan digunakan bagi menentukan keesokan harinya 30 hb atau 1 hb. Kaedah Imkanul Rukyah adalah berdasarkan kepada kriteria berikut:

  1. Umur anak bulan melebihi 8 jam ijtimak (bumi, bulan dan matahari berada segarisan).
  2. Ketinggian anak bulan di ufuk selepas matahari terbenam sekurangnya 2 darjah.
  3. Jarak Lengkung di antara pusat matahari dengan pusat bulan sekurang kurangnya 3 darjah. Di mana sekiranya anak bulan pada petang 29hb memenuhi kriteria Imkanul Rukyah maka keesokan harinya dikira sebagai awal bulan baru dan bulan tersebut menjadi 29 hb sahaja.

 

Sejarah Hari Raya Aidilfitri

Sebelum ajaran Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di kota Mekah, masyarakat Arab Jahiliyah memiliki dua hari raya, iaitu perayaan Nairuz dan Mahrajan. Kedua-dua perayaan ini merupakan tradisi yang berasal dari zaman Persia Kuno. Kaum Arab Jahiliyah menyambut perayaan itu dengan tarian iaitu tarian perang dan ketangkasan selain menyanyi di samping dijamu dengan makanan enak dan minuman memabukkan. Pada zaman itu setiap kaum mempunyai hari raya masing-masing.

Setelah turunnya kewajiban untuk menunaikan ibadah puasa Ramadan pada tahun 2 Hijrah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengganti kedua hari raya itu dengan hari raya yang lebih baik, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Hadis Riwayat Daud dan Nasai)

Hari Raya Aidilfitri pertama kalinya dirayakan umat Islam selepas Perang Badar pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Dalam pertempuran itu, umat Islam meraih kemenangan walau 319 orang tentera Muslimin menentang 1,000 pasukan kafir Quraisy. Pada tahun itu, Rasulullah SAW dan para sahabat merayakan dua kemenangan iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan kejayaan menewaskan hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

Antara amalan para sahabat Rasulullah SAW apabila bertemu di hari raya ialah mereka mengucapkan: “taqabbalallahu minna wa minka,” merujuk kepada Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Baari.

Lalu bagaimana jawapan untuk ucapan taqabbalallahu minna wa minkum?

Dalam riwayat sahabat dan salaful salih, jawapan bagi taqabbalallahu minna wa minkum adalah dengan doa yang sama iaitu taqabbalallahu minna wa minkum juga.

Pengertian Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri adalah anugerah yang Allah turunkan sebagai hadiah untuk umat Islam bukan sahaja sebagai ganjaran kemenangan dalam bentuk kesabaran fizikal tetapi kejayaan kerana berjaya menjinakkan hawa nafsu dalam bulan Ramadan secara spiritual. Seharusnya, umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan memperbanyakkan bertahmid dan bertasbih sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT di samping memenuhi masjid-masjid pada malam dan pagi hari raya dengan memuji Allah SWT dan bermaaf-maafan mengakui salah silap dan kelemahan diri. Menziarahi bagi meraikan golongan fakir miskin dan muallaf pada hari tersebut juga amatlah dituntut.

Susulan itu bagi meraikan hari kemenangan oleh seluruh umat Islam ini diperingkat UMT, Jawatankuasa Penyelarasan Majlis Sambutan Aidilfitri UMT telah bersetuju untuk mengadakan Majlis Jamuan Aildilfitri UMT 1439H pada 28 Jun 2018 (14 Syawal 1439H) bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT dengan mengetengahkan konsep Raya Sama-Sama : Kongsi Juadah Raya dan Aidil Fitri Lestari – Bring Your Own.

Sumber:

  1. Tazkirah.net
  2. Wikipedia

Khidmat Nasihat Profesor Untuk Pembangunan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 25 April – Kerajaan Negeri Terengganu akan menggunakan khidmat nasihat dan kepakaran Profesor dalam menasihati serta membantu memantapkan strategi dan pelaksanaan program-program pembangunan negeri Terengganu dalam pelbagai bidang.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, dalam usaha untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang berdaya maju dengan pemikiran rakyat kelas pertama, Kerajaan Negeri Terengganu amat memerlukan sumbangan kumpulan pemikir untuk menyumbang buah fikiran dalam menambah nilai dan menjayakan perancangan pembangunan negeri serta pelaksanaan program-program strategik.

“Antara sumber utama daripada kategori cendikiawan yang berpotensi untuk digembleng dan boleh memain peranan secara lebih berkesan adalah dari kalangan profesor dan profesor madya. Mereka boleh menyumbang input kepakaran dari segi akademik, profesional, khidmat nasihat dan idea pemikiran baharu dalam pelbagai bidang. Dengan sebab itu, saya bersetuju untuk menubuhkan Majlis Profesor Negeri Terengganu bagi membantu pihak kerajaan untuk memperkukuh asas penggubalan dasar atau polisi pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu serta pelaksanaan program-program yang dirancang”, kata beliau semasa merasmikan Pra Pelancaran Majlis Profesor Negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar; Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abd. Latif dan Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.

“Profesor-profesor ini akan dilantik untuk memberikan nasihat kepakaran di bawah portfolio Exco-exco Kerajaan Negeri Terengganu. Mereka akan membantu Exco-exco untuk membuat kajian penggubalan dasar dan merancang program-program strategik untuk faedah negeri dan rakyat Terengganu. Pada masa ini terdapat 98 orang Profesor yang berasal dari negeri ini yang berkhidmat di Universiti Awam dan kepakaran mereka sangat bernilai”, katanya lagi.

Selain itu, UMT dan UniSZA turut mengukuhkan hubungan kerjasama keserakanan dan kesepunyaan dengan bertukar dokumen Memorandum Persefahaman di program tersebut.

Mukjizat Israk dan Mikraj

Peristiwa israk dan mikraj dalam bulan adalah anugerah Allah kepada Rasulullah SAW setelah berlakunya kematian dua insan yang amat bermakna dalam hidup Baginda iaitu Ummu Mukminin Saidatina Khadijah r.a. isteri Baginda yang amat dicintai, dan Abu Thalib bapa saudara yang menjaga Baginda sejak kecil. Maka pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah, Allah SWT telah menganugerahkan Rasulullah SAW dengan peristiwa israk dan mikraj. Firman Allah SWT dalam surah Al-Israk, ayat 1 yang bermaksud, “Maha suci Allah Taala yang telah menjalankan hamba-Nya Muhammad SAW pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Israk bermaksud perjalanan malam dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Mikraj pula bermaksud perjalanan Baginda dari Masjidil Aqsa ke langit ketujuh sehingga Sidratul Muntaha. Perjalanan ini berlaku secara jasad dan roh Rasulullah SAW dengan diiringi oleh Malaikat Jibril a.s.

Kita diwajibkan beriktikad dan menyakini dengan sepenuh hati bahawa israk dan mikraj adalah benar-benar berlaku kepada Baginda SAW. Beriman dengan israk dan mikraj menuntut kita memahami erti mukjizat. Mukjizat merupakan perkara yang mencarik adat iaitu menyalahi kebiasaan yang berlaku kepada para Nabi a.s. Ertinya perkara mukjizat adalah sesuatu yang harus pada akal, namun berlaku menyalahi adat kebiasaan.

Contohnya, api pada adatnya dapat membakar, namun harus bagi Allah menjadikan sesuatu tidak terbakar apabila bersentuhan dengan api, seperti yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s. Walaupun Baginda dicampak oleh Namrud ke dalam api yang marak membara, Baginda tidak terbakar bahkan merasa sejuk dan selesa di dalamnya. Ini adalah kerana api merupakan makhluk Allah yang patuh dan tunduk kepada penciptaannya, boleh menjadi panas dan sejuk mengikut ketentuan Allah. Namun, sunatullah dan ketentuan Allah telah menetapkan bahawa api bersifat membakar pada keadaan biasa. Maka harus bagi Allah menjadikan api tidak panas dan tidak membakar sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s.

Jika kita teliti kisah israk dan mikraj Rasulullah SAW, kita dapati kafir musyrikin Mekah mengingkari peristiwa israk dan mikraj. Pada mereka, cerita tersebut adalah tidak masuk akal kerana pada zaman itu, perjalanan daripada Mekah ke Baitul Maqdis mengambil masa sebulan, sedangkan Nabi Muhammad SAW pula mengatakan bahawa Baginda pergi ke Baitul Maqdis dan pulang dalam tempoh sebahagian malam sahaja. Mereka hanya bersandarkan kepada hukum adat kebiasaan, dan bukannya logik akal. Buktinya kini, dengan kemajuan zaman, seseorang mampu pergi ke tempat yang jauh dalam tempoh masa yang singkat menggunakan kenderaan seperti kapal terbang atau jet. Ilmu sains telah membuktikan bahawa mukjizat israk dan mikraj bukannya satu perkara yang mustahil. Begitu juga dengan peristiwa Baginda merentas langit sehingga ke langit ke penghujung alam. Cerita ini mungkin sukar diterima pada zaman dahulu. Namun kini, sains membuktikan bahawa perkara ini bukanlah satu yang mustahil.

Sebagai seorang hamba, kita wajib beriman bahawa Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam semesta, mampu melakukan semua perkara yang harus berdasarkan kehendak-Nya. Seluruh alam ini di bawah takluk qadar dan iradat Allah Taala. Firman Allah Taala dalam surah Al-Imran ayat 189 yang bermaksud, “Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Kita juga perlu akui bahawa akal yang diberi Allah Taala kepada kita merupakan makhluk ciptaan Allah yang ajaib dan penuh rahsia. Kadang-kala akal tidak dapat memahami makna dan hikmah sesuatu mukjizat yang berlaku. Namun, dengan berkembangnya teknologi dan peredaran zaman, Allah menzahirkan dan mendedahkan rahsia alam kepada manusia sebagai tanda kekuasaan dan kebenaran agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Begitu juga arahan dan larangan Allah yang terkandung dalam mukjizat agung Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Setiap suruhan pasti terdapat manfaat kepada hamba-Nya, manakala setiap larangan pasti terdapat mudharat yang ingin dijauhkan daripada hamba-Nya. Sains moden telah membongkar sebahagian rahsia ini dengan bukti-bukti saintifik. Antaranya, manfaat solat dan berpuasa, serta mudharat zina dan arak. Kepatuhan kita kepada Allah hendaklah dibina atas dasar keimanan bahawa Allah Maha Mengetahui manfaat dan mudharat bagi manusia, walaupun sesetengah daripada tuntutan agama belum diketahui hikmah dan rahsianya.

Mengakhiri khutbah Jumaat pada hari ini, marilah kita mengambil iktibar daripada peristiwa israk dan mikraj dengan mengukuhkan keimanan dan keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah dan syariat-Nya. Akidah dan keimanan merupakan syarat yang paling penting bagi menjadikan diri seseorang terselamat daripada azab yang kekal di hari pembalasan. Akidah juga amat berkait-rapat dengan amalan dan akhlak seseorang. Kepatuhan terhadap syariat yang mulia merupakan natijah dan hasil daripada akidah yang suci murni dan teguh.

Oleh itu, bagi meningkatkan kefahaman terhadap akidah Islam, marilah kita hadir kelas-kelas pengajian berkaitan akidah. Janganlah kita memandang ringan pelajaran akidah dengan alasan kita sudah Islam sejak kecil lagi. Setiap zaman pasti mempunyai cabaran dan syubhah yang boleh diselesaikan dengan memahami akidah yang sahih. Semoga kita dikurniakan Allah Taala dengan keteguhan iman dan kefahaman tentang tuntutan syariat Islam.

[Petikan khutbah Jumaat di Masjid UMT pada 20 April 2018]

Penjawat Awam Perlu Berdisiplin Menjelang Pilihan Raya Umum

KUALA NERUS, 16 April – Penjawat awam perlu berwaspada dengan tingkahlaku mereka agar tidak menyalahi peraturan menjelang pilihan raya umum ke-14 yang bakal berlangsung pada bulan Mei 2018.

Menurut Pegawai Undang-undang UMT, Mohamad Hafizuddin Zakaria, proses pilihan raya dilaksanakan secara demokrasi dan setiap staf berhak menunaikan kewajipan untuk mengundi. Namun staf UMT masih terikat kepada pematuhan Peraturan 20, Akta 605 iaitu mengenai penglibatan dalam aktiviti politik.

“Pelanggaran kepada peraturan ini membolehkan pihak universiti mengambil tindakan tatatertib kepada staf berkenaan. Antara tindakan yang boleh diambil seperti amaran, denda, pemotongan emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat atau dibuang kerja,” kata beliau semasa memberikan taklimat PRU dalam program Open Mic Canselori di Dewan Senat UMT, hari ini.

“Staf perlu mendapat kebenaran Lembaga Pengarah UMT jika ingin terbabit dalam aktiviti politik atau menyertai mana-mana parti politik. Malah, Akta 605 masih membenarkan staf untuk menjadi ahli biasa mana-mana parti politik. Namun, setiap staf perlu menjaga integriti dan tidak mencampur-adukkan urusan politik dengan urusan kerja,” katanya lagi.

Terjemahan / Translation / ترجمة / 翻译